Saturday, 20 July 2013

Metafora



PENGENALAN.
Menurut John Lakoff dan Mark Johnson ( 1987 ), umumnya metafora dilihat sebagai satu alat yang menggambarkan imaginasi puitis.Kaya dengan aspek retorikal dan biasanya juga dianggap sebagai suatu bentuk bahasa yang luar biasa.Metafora biasanya dilihat sebagai karakteristik bahasa sahaja iaitu sebagai suatu perkataan dan bukannya sebagai alat pemikiran atau perbuatan.
Kajian Lakoff dan Johnson (1980) memberikan impak yang besar terhadap kajian semantik kognitif khususnya metafora.Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia.
Jelas mereka, penggunaan metafora didasari oleh skema imej.

METAFORA
Perkataan Metafora dikatakan berasal daripada perkataan Greek, iaitu meta bermaksud ‘atas’, manakala pherein bermakna ‘diangkat’.
Oleh itu metafora merujuk kepada satu set proses linguistik di mana sesetengah karakteristik sesuatu subjek ‘diangkat ke atas’ atau dipindahkan kepada objek yang lain.
Oleh yang demikian, objek yang kedua dituturkan atau diaplikasikan seolah-olah ia berada pada kedudukan objek yang pertama.
DEFINISI
Menurut Lakoff & Johnson, metafora melambangkan maksud yang berlainan daripada ekspresi yang diujarkan.
Menurut Hawkes ( 1986 ), “ Metafora ialah suatu cara untuk mendeskripsikan sesuatu dengan mengatakan bahawa terdapat suatu perkara lain yang mempunyai kualiti terhadap sesuatu yang hendak dijelaskan.
Menurut Kamus Dewan, “ metafora ialah pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan. Ini bermakna sesuatu perkataan itu mempunyai makna lain untuk tujuan tertentu.”
Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. pula berpendapat bahawa metafora ialah kiasan yang tidak menggunakan perkataan-perkataan seperti seolah-olah, ibarat, seakan-akan, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama. Dalam ayat “ Budak itu lembu ”,
lembu’ ialah metafora. Dalam ayat “ Budak itu bodoh seperti lembu ”, ‘lembu’ ialah perumpamaan kerana terdapat perkataan ‘seperti’ sebelum ‘lembu’.[1]
[1] Abdullah Hassan & Ainon Mohd, KamusPeribahasaKontemporari,PTS Publisher, Kuala Lumpur.
Menurut Asmah Haji Omar (1996), definisi metafora tidak hanya terbatas sekadar bunga-bunga bahasa atau bahasa yang indah tetapi lebih dalam daripada pengertian itu di mana metafora juga menggambarkan sistem konseptual sesuatu bahasa dan kepercayaan terhadap kebudayaan para penutur asli bahasa tersebut.
Penjenisan metafora
Lakoff & Jonhson membahagikan metafora mengikut aspek
semantik kognitif seperti berikut :
1.      Kesistematisan konsep metafora.
2.      Kesistematisan metafora dalam menonjolkan atau menyembunyikan sesuatu aspek.
3.      Metafora dan koherensi kebudayaan.
4.      Metafora ontologikal.
5.      Metonomi dan personifikasi
Penjelasan
1.      Kesistematisan konsep metafora.
Contoh metafora
“Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”
Maksud
Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.


Penjelasan
Menurut Lakoff & Johnson, metafora melambangkan maksud yang berlainan daripada ekspresi yang diujarkan.Ekspresi-ekspresi metafora dalam kehidupan seharian adalah bergantung kepada konsep metafora secara sistematik. Melaluinya kita boleh mengkaji salasilah dan perkaitan metafora dalam aktiviti kehidupan kita sehari-hari.
Merujuk kepada contoh metafora di atas, haiwan seperti burung dan telurnya telah dijadikan metafora iaitu burung adalah ekspresi dan maksudnya adalah berkaitan dengan manusia. Maksud metafora diatas adalah supaya kita hidup dalam berkumpulan hendaklah sentiasa bersatu padu dan bekerjasama. Jika tiada sikap perpaduan tersebut maka akan runtuhlah hidup kumpulan tersebut kerana jika salah seorang daripada komuniti tersebut melakukan kesilapan maka seluruh komuniti akan terpalit dengan kesalahan yang sama. Umpama nila setitik rosak susu sebelanga.

2.      Kesistematisan metafora dalam menonjolkan ataumenyembunyikan sesuatu aspek.
Contoh metafora
“melentur buluh biarlahketika rebungnya"
Maksud peribahasa
Mengajar atau menanam sesuatu tabiat yang perlu dilakukan semasa seseorang itu masih muda atau masih kecil.
Penjelasan
Kesistematisan merupakan pemahaman satu aspek dalam sesuatu konsep daripada sudut pemahaman yang berbeza.Keadaan ini secara tidak langsung akan menyembunyikan aspek-aspek lain yang terdapat dalam konsep metafora sekaligus menyebabkan seseorang tidak memfokuskan kepada aspek-aspek yang lebih konsisten dalam metafora.Misalnya, konsep peribahasa difahami secara berasingan dengan maksud yang diberikan kepadanya oleh masyarakat Melayu mahupun masyarakat bukan Melayu.Lakoff & Johnson menerangkan bagaimana metafora dapat menonjolkan atau menyembunyikan sesuatu pengalaman hidup kita dengan menggunakan metafora saluran ( conduit metaphor ) yang diperkenalkan oleh Michael Reddy.
Pemerhatian Reddy terhadap bahasa manusia memperlihatkan bahasa dapat distrukturkan kepada tiga aspek metafora yang kompleks iaitu:
- Idea atau makna adalah objek.
- Ekspresi linguistik adalah bekasnya ( container ).
- Komunikasi akan menghantarnya.
Merujuk kepada contoh metafora yang digunakan, melalui kajian Reddy,
·      Idea atau makna yang cuba diketengahkan adalah proses membentuk peribadi seseorang insan.
·      Eksperi linguistik adalah apabila penggunaan buluh sebagai simbolik. Buluh yang diketahui  akan kelunturannya apabila di tiup angin akan bertahan dan tidak mudah patah.
·      Komunikasi pula adalah cara penyampaian metafora yang menyatakan untuk melentur buluh hendaklah dilakukan ketika ia masih muda. Ini menyenangkan kerana ia masih mudah dilentur. Begitu juga dengan kata maksud dimana seorang kanak-kanak akan lebih mudah diasuh dan mendengar kata jika dibandingkan dengan manusia yang telah dewasa.
3.      Metafora dan koherensi kebudayaan.
Contoh metafora
“Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi. Yang indah itu bahasa yang elok itu budi”
Maksud 
Ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli.
Penjelasan
Nilai yang paling penting dalam budaya akan menjadi koheren dengan struktur metafora yang paling utama dalam kebudayaan.
Sebagai contoh, kita dapat mempertimbangkan beberapa nilai budaya dalam masyarakat.
(biasanya ditandakan sebagai BAIK dan TIDAK BAIK) yang koheren dengan ruang orientasi metafora ATAS–BAWAH dengan bahagian berlawanan mana yang tidak sesuai mengikut sesuatu kebudayaan,
Merujuk kepada contoh metafora yang dinyatakan, melalui metafora tersebut kita dapat memgambarkan nilai budaya masyarakat berkaitan dengan budi bahasa sesuatu masyarakat. Jika baik budi bahasanya maka baiklah masyarakat tersebut. Budi bahasa akan sentiasa menjadi kayu pengukur sesuatu bangsa kerana budi bahasa tidak boleh dijual beli. Ia adalah identity sesuatu bangsa.
4.      Metafora ontologikal.
Contoh metafora
“Seronok sekali rasanya mendengar muzik alam yang begitu asli,”
Maksud 
Ungkapan yang menggambarkan ketenangan yang di rasai apabila kita kembali mendengar alunan irama yang telah diciptakan oleh yang Maha Esa. Ia menyentuh jiwa secara semulajadi.
Penjelasan
Pengalaman kita dengan objek-objek fizikal telah memberikan suatu input bagi metafora ontologikal.Ia meliputi cara untuk memerhatikan sesuatu aspek atau perkara, aktiviti, emosi dan idea yangberkaitan dengan entiti dan bahan-bahan.
Metafora ontologikal terdiri daripada pelbagai tujuan dan pelbagai jenis metafora yang menggambarkan tujuan-tujuan tersebut.
Merujuk kepada metafora yang diberikan, pengalaman yang dialami adalah keseronokan dan ketenangan apabila mendengar irama alam. Objek fizikal yang diketengahkan adalah alam semulajadi. Mentafora ontologikalnya adalah emosi yang tenang dan seronok melalui pengalaman mendengar alunan semulajadi alam.

5.      Metonomi dan Personifikasi
a.       Metonomi
Contoh metafora
Abu Jahal
Maksud 
Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Penjelasan
Metonimi adalah suatu aspek yang menggunakan satu entiti untuk merujuk kepada entiti lain yang berkaitan dengannya.Metafora dan metonimi mengalami dua proses yang berbeza di mana metafora adalah suatu cara untuk memikirkan sesuatu perkara dari sudut suatu perkara yang lain dan fungsi utamanya adalah untuk memahami.
Manakala, metonimi pula memegang fungsi rujukan di mana ia membolehkan kita menggunakan satu entiti untuk ‘berdiri di atas’ satu entiti yang lain.
Misalnya, agama Islam dilambangkan dengan bulan sabit. Oleh itu, bila mana kita melihat bulan sabit maka kita akan merujuknya sebagai simbol Islamik.
Walau bagaimanapun, metafora dan metonimi merupakan dua aspek yang sistematik dan mempunyai tujuan yang sama tetapi metonimi memerlukan pemfokusan yang lebih spesifik kepada aspek yang dirujuk.
Merujuk kepada metafora yang diberi, entiti yang ditonjolkan adalah Abu Jahal. Di dalam sejarah Islam, Abu Jahal memang terkenal dengan kejahatan beliau yang memusuhi Rasulullah s.a.w yang merupakan anak saudara beliau. Maka umumnya masyarakat tahu jika disamakan seseorang dengan Abu Jahal maka ia merupakan seorang manusia yang jahat dan tidak akan didekati.
b.      Personifikasi
Contoh metafora 1
Harapkan pegar, pegar makan padi.
Maksud 
Kita mengamanahkan atau memberi kepercayaan kepada seseorang,sebaliknya orang itu mengkhianati kepercayaan atau amanah yang kita berikan.
Contoh metafora 1
Biar mati anak, jangan mati adat.
Maksud
Orang yang kuat perpegang pada adat.

Metafora ontologikal yang paling ketara dapat dilihat pada objek fizikal yang diberikan sifat perorangan.Keadaan ini menyebabkan kita memahami sesuatu pengalaman dengan entiti bukan manusia dari sudut motivasi, tingkahlaku dan aktiviti-aktiviti manusia.
Contoh ini dapat kita lihat melalui beberapa data peribahasa yang telah dipilih:
‘Pagar’ merupakan suatu objek tidak bernyawa yang diberikan sifat perorangan di mana pagar di sini dikatakan berupaya untuk melakukan aktiviti yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan hidup seperti ‘makan’ sewaktu perut berasa lapar.
‘Adat’ merupakan suatu amalan yang dilakukan oleh manusia dalam sesuatu komuniti. Adat bukanlah merupakan suatu objek namun ia merupakan suatu kegiatan manusia yang bersifat subjektif. Oleh itu, ‘adat’ di sini diberikan sifat perorangan di mana adat dikatakan boleh mengalami proses ‘mati’ sepertimana objek bernyawa yang lain.
Kesimpulan.
Metafora adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu.Penggunaanya berkait rapat dengan kepercayaan , sikap dan nilai masyarakat.Penerimaan berkait dengan pengalaman bahasa dan ia bersifat realtif. Dengan menggunakan metafora massyarakat cuba menyampaikan mesej dengan cara yang sopan dan tidak menguris hati orang lain. Selain peribahasa, simpulan bahasa dan pantun-pantun lama kita juga disogokkan dengan mutiara kata yang indah sebagai pedoman. Masayarakat Melayu terdahulu sungguh sopan didalam memberi tunjuk ajar dan teguran. Seperti yang telah dinyatakan “Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”. Bahasa jiwa bangsa.

No comments:

Post a Comment