Saturday, 27 July 2013

Fungsi Bahasa



Pengenalan
Merujuk kepada Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1956, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar dalam usaha mengukuhkan  integrasi antara kaum. Antara langkah yang telah diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dasar pendidikan negara ini ialah dengan menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama di semua sekolah, menggunakan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama di setiap sekolah dan guru-guru yang mengajar di sekolah haruslah dilatih di bawah satu sistem latihan perguruanyang sama.  Maka, hasil dari laporan yang telah dibentang, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1957. Umumnya,terdapat 3 tujuan utama yang terkandung dalam dasar pendidikan kebangsaan ini. Pertama, tujuan dasar pendidikan diadakan adalah untuk mewujudkan satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Kedua, untuk menghasilkan pelajar yang berdisiplin serta mematuhi dan menghormati kedua ibu bapa mereka di mana prinsip ini sejajar dengan dasar dan polisi pendidikan untuk mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran yang cekap dan efisien dengan keperluan untuk mengelakkan perbelanjaan awam yang tidak tersusun. Yang ketiga pula, ianya untuk memastikan agar dasar ini dapat dilaksanakan dengan berkesan khususnya dalam menentukan perkembangan sistem pendidikan yang progresif dan bahasa kebangsaan dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama. 
Esei ini akan membincangkan berkenaan fungsi dan kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar disekolah
  i.            Bahasa Ilmu
Bahasa ilmu boleh ditakrifkan sebagai bahasa yang mempunyai ciri-ciri formal dan dapat mengungkapkan sesuatu konsep dan pemprosesan ilmu. Sejajar dengan memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita maka sewajarnya bahasa ini digunakan untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar yang merupakan warganegara Malaysia. Apabila Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, ia bukan lagi menjadi bahasa kepada orang-orang melayu. Melihat dari segi sejarah, bahasa Melayu di rantau ini pernah digunakan di dalam peradaban tinggi, di dalam istana dan di kota-kota di mana bahasa itu tersebar. Bahasa Melayu juga telah lama digunakan untuk mengungkapkan konsep-konsep dan proses-proses yang tinggi serta kompleks, terutama sekali di dalam bidang agama, falsafah, sastera dan budaya. Setelah tiga puluh tahun dirancang dengan begitu rapi, perkembangan yang positif di dalam penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat di dalam bidang ilmiah. Penggunaan bahasa Melayu di dalam bidang sains sosial telah lama wujud, malahan lebih awal daripada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Srivijaya, Acheh dan Melaka. Malahan di dalam sejarah yang mutakhir, pusat kebudayaan seperti Pulau Pinang telah banyak menghasilkan buku untuk institusi pengajian tinggi dan akhbar diterbitkan. Bahasa Melayu telah digunakan dengan banyaknya di dalam konteks agama, sastera dan budaya. Maka bagi kesinambungan ini diharap dapat diteruskan bagi memastikan bahasa Melayu boleh berada setaraf dengan bahasa ilmu yang lain didunia. Sebagai contoh, pelajar dari negara lain sanggup datang ke Malaysia bagi mendalami ilmu yang diajar didalam bahasa kebangsaan sepenuhnya.

ii.            Bahasa Komunikasi
Bahasa adalah alat perhubungan terpenting. Melaluinya kita dapat menyatakan sesuatu atau memahami orang lain. Komunikasi boleh berlaku sama ada secara lisan, bacaan atau tulisan namun hubungan secara lisan lebih meluas dan berkesan.    Malaysia, penduduknya terdiri daripada berbilang bangsa, budaya dan agama. Seperti yang kita semua maklum, penduduk negara Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik di mana golongan yang terbesar adalah Melayu, Bumiputera Sabah dan Serawak, Cina dan India. Terdapat juga lain-lain bangsa selain daripada bangsa yang telah disebutkan tadi. Jadi bagaimanakan negara kita dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum ini menjadi rakyat Malaysia. Melalui Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, ia di harap akan memudahkan komunikasi diantara kaum. Sungguhpun menggunakan bahasa yang berbeza, namun penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan utama telah dapat mengatasi masalah komunikasi. Apabila Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan maka etnik lain perlu mempelajari bahasa ini apabila mereka mahu berkomunikasi dengan kaum lain. Sebagai kesinambungan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa ini juga berfungsi sebagai bahasa komunikasi untuk menyampaikan ilmu yang ingin disampaikan daripada guru kepada muridnya. Melalui Bahasa Melayu kanak-kanak berbilang bangsa dapat berinteraksi sesama sendiri dan antara guru dan orang luar.
iii.            Bahasa Perpaduan
Asas pembentukan masyarakat di Malaysia yang didasari oleh dasar bahasa yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang mesti dipelajari dan digunakan oleh semua orang merupakan simbol identiti masyarakat dan negara bangsa Malaysia. Kejayaan pembentukan masyarakat berasaskan dasar bahasa dinilai dengan semangat nasionalisme dalam diri individu lalu membentuk dan mengumpulkan semangat tersebut dalam kesatuan masyarakat mereka sendiri. Masyarakat pluralistik Malaysia menggunakan satu bahasa kebangsaan dan bebas menggunakan bahasa lain selagi tidak untuk maksud-maksud yang membahayakan ketenteraman awam dan akhirnya mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, bersefahaman dan bersatu padu. Bahasa Melayu mempunyai syarat untuk memenuhi keperluan bagi menjadi bahasa kebangsaan yang melambangkan kedaulatan dan perpaduan negara. Bahasa yang berbeza-beza menimbulkan kebudayaan yang berbeza juga. Ia tidak akan menimbulkan satu negara yang mempunyai perpaduan yang teguh. Perpaduan rakyat yang berbilang bangsa itu boleh dicapai dengan adanya satu kebudayaan nasional yang mempunyai bahasa kebangsaan sebagai lambang ekspresinya (Asmah Hj. Omar; 1985). Berdasarkan itu, bahasa adalah alat perpaduan yang sebaik-baiknya dan sudah ada gambaran bahawa bahasa itu adalah milik sesuatu bangsa digantikan dengan abhasa Melayu yang melambangkan perpaduan dan asas kepada pembentukan masyarakat dalam konteks Malaysia.

Kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan
  i.            Pembentukan Identiti Negara
Setiap negara di dunia mempunyai sekurang-kurangnya satu bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan merupakan sebuah bahasa yangmelambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara secara unik. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diangkat menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Ia merupakan lambang jati diri negara dan kewarganegaraan, bukti tentang kedaulatannya yang membolehkan sesebuah negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara berdaulat yang lain. Oleh yang demikian, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah adalah memastikan rakyat Malaysia dapat menguasai bahasa Melayu dan menanam jati diri di dalam diri mereka. Seterusnya ia berperanan supaya pelajar berbangga dengan bahasa kebangsaan negara mereka sendiri. Ini adalah kerana bahasa kebangsaan biasanya digunakan untuk wacanapolitik dan undang-undang dan ditetapkan di dalam sesebuah kerajaan negara. Bahasa kebangsaan boleh menjadi bahasa rasmi tetapi tidak semestinya. Bahasa kebangsaan juga mungkin berbeza dengan bahasa yang umum digunakan rakyat sesebuah negara. Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Misalnya, Bahasa Melayu diMalaysia, Bahasa Inggeris di United Kingdom, BahasaPerancis di Perancis, Bahasa Jepun di Jepun, danBahasa Jerman di Jerman. Sesetengah negara mempunyai lebih dari satu bahasakebangsaan. Contoh negara Kanada yang menggunakan bahasa Perancis dan Inggeris sebagai bahasa kebangsaannya.
ii.            Lambang Jati Diri
Bahasa merupakan faktor yang sangat penting dan berpengaruh dalam melahirkan kesedaran dalam diri seseorang sebagai sebuah bangsa. Melalui bahasa sesebuah negara dikenali. Seperti contoh bahasa Jepun, bahasa Inggeris dan Mandarin. Prof Chandra berkata, bahasa Melayu sangat penting dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia kerana ia sudah pun terbukti sebagai lingua franca dalam sejarah yang sangat panjang dalam peradaban dan ketamadunan Melayu. Bahasa Melayu bukan saja digunakan sebagai bahasa komunikasi antara pelbagai etnik di rantau ini, bahkan turut digunakan oleh bangsa besar di luar gugusan termasuk Cina, India dan Barat. Kebanyakan penduduk dunia boleh berbahasa Inggeris. Di Malaysia juga kebanyakan penduduk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama bukan bahasa kedua. Ini menunjukkan terdapat segelintir masyarakat kita tidak yakin dan tidak bangga dengan bahasa kebangsaan mereka. Cuba kita lihat negara Jepun sebagai contoh; walaupun ke mana sahaja mereka pergi, mereka tidak segan silu berbicara menggunakan bahasa ibunda. Itulah yang kita cuba terapkan dikalangan penduduk Malaysia. Melalui pendidikan, pendidik cuba mendidik anak bangsa supaya bangga dengan bahasa kebangsaan dan bahasa itu sendiri dijadikan sebagai lambang jati diri . Ini bermakna rakyat plural dinegara kita ini akan merasa bangga dengan Bahasa Melayu dan tidak akan segan silu menggunakan Bahasa Melayu walau dimana jua mereka berada.



 iii.         Bahasa Rasmi
Bahasa rasmi bermaksud ia adalah bahasa yang digunakan didalam segala urusan yang berkaitan dengan kerajaan dan majlis-majlis rasmi negara. Maka sudah semestinya sekolah perlu melatih pelajar untuk mahir menggunakan bahasa Melayu kerana ia digunaka secar menyeluruh di negara ini. Malah kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengaudit bahasa Melayu di seluruh jabatan kerajaan. Tujuan audit bahasa ini dilakukan adalah untuk memastikan setiap jabatan dan agensi kerajaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan juga ia memastikan penggunaan bahasa ini adalah betul dari segi konsep tatabahasa. Selain daripada itu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mencerminkan pengunaannya dalam pelbagai perisiannya dan kesantunanya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika kemahiaran bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesantunan. Segala ini dapat dicapai melalui pendidikan bahasa Melayu di sekolah. Institusi pendidikan akan memastikan setiap pelajar mahir menggunakan bahasa Melayu yang betul sebagai bahasa rasmi negara.

Kesimpulan
Untuk memastikan bahawa taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pendidikan tinggi, bahasa kemajuan negara dan perpaduan yang sudah mantap itu tidak merosot ke taraf lama (sebelum Kemerdekaan) dan untuk mengelak berlakunya krisis dasar bahasa sehingga boleh menjejaskan perpaduan kaum dan kemajuan negara, saya kemukakan cadangan berikut:
1)      Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara hendaklah dilaksanakan dengan tegas dalam semua bidang.
2)      Arahan atau seruan supaya Bahasa Inggeris digunakan untuk mengajarkan "kurus-kursus sains dan teknologi tertentu" di universiti awam hendaklah ditarik balik.
3)      Pemimpin Melayu berhenti bercakap di khalayak umum tentang "pentingnya bahasa Inggeris untuk kemajuan negara ini". Kesan psikologi, politik dan budayanya terhadap kedudukan Bahasa Melayu amat buruk. Sebaliknya mereka mesti mula menegaskan tentang pentingnya Bahasa Melayu sebagai alat pembangunan negara dalam konteks Wawasan 2020.
4)      Tujuan belajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mesti jelas. Peranan dan pentingnya bahasa kedua tidak boleh disamakan dengan peranan dan pentingnya bahasa pertama (BM) sebagai alat pembangunan negara dan pembentuk jati diri bangsa.

Saturday, 20 July 2013

Metafora



PENGENALAN.
Menurut John Lakoff dan Mark Johnson ( 1987 ), umumnya metafora dilihat sebagai satu alat yang menggambarkan imaginasi puitis.Kaya dengan aspek retorikal dan biasanya juga dianggap sebagai suatu bentuk bahasa yang luar biasa.Metafora biasanya dilihat sebagai karakteristik bahasa sahaja iaitu sebagai suatu perkataan dan bukannya sebagai alat pemikiran atau perbuatan.
Kajian Lakoff dan Johnson (1980) memberikan impak yang besar terhadap kajian semantik kognitif khususnya metafora.Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia.
Jelas mereka, penggunaan metafora didasari oleh skema imej.

METAFORA
Perkataan Metafora dikatakan berasal daripada perkataan Greek, iaitu meta bermaksud ‘atas’, manakala pherein bermakna ‘diangkat’.
Oleh itu metafora merujuk kepada satu set proses linguistik di mana sesetengah karakteristik sesuatu subjek ‘diangkat ke atas’ atau dipindahkan kepada objek yang lain.
Oleh yang demikian, objek yang kedua dituturkan atau diaplikasikan seolah-olah ia berada pada kedudukan objek yang pertama.
DEFINISI
Menurut Lakoff & Johnson, metafora melambangkan maksud yang berlainan daripada ekspresi yang diujarkan.
Menurut Hawkes ( 1986 ), “ Metafora ialah suatu cara untuk mendeskripsikan sesuatu dengan mengatakan bahawa terdapat suatu perkara lain yang mempunyai kualiti terhadap sesuatu yang hendak dijelaskan.
Menurut Kamus Dewan, “ metafora ialah pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan. Ini bermakna sesuatu perkataan itu mempunyai makna lain untuk tujuan tertentu.”
Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. pula berpendapat bahawa metafora ialah kiasan yang tidak menggunakan perkataan-perkataan seperti seolah-olah, ibarat, seakan-akan, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama. Dalam ayat “ Budak itu lembu ”,
lembu’ ialah metafora. Dalam ayat “ Budak itu bodoh seperti lembu ”, ‘lembu’ ialah perumpamaan kerana terdapat perkataan ‘seperti’ sebelum ‘lembu’.[1]
[1] Abdullah Hassan & Ainon Mohd, KamusPeribahasaKontemporari,PTS Publisher, Kuala Lumpur.
Menurut Asmah Haji Omar (1996), definisi metafora tidak hanya terbatas sekadar bunga-bunga bahasa atau bahasa yang indah tetapi lebih dalam daripada pengertian itu di mana metafora juga menggambarkan sistem konseptual sesuatu bahasa dan kepercayaan terhadap kebudayaan para penutur asli bahasa tersebut.
Penjenisan metafora
Lakoff & Jonhson membahagikan metafora mengikut aspek
semantik kognitif seperti berikut :
1.      Kesistematisan konsep metafora.
2.      Kesistematisan metafora dalam menonjolkan atau menyembunyikan sesuatu aspek.
3.      Metafora dan koherensi kebudayaan.
4.      Metafora ontologikal.
5.      Metonomi dan personifikasi
Penjelasan
1.      Kesistematisan konsep metafora.
Contoh metafora
“Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”
Maksud
Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.


Penjelasan
Menurut Lakoff & Johnson, metafora melambangkan maksud yang berlainan daripada ekspresi yang diujarkan.Ekspresi-ekspresi metafora dalam kehidupan seharian adalah bergantung kepada konsep metafora secara sistematik. Melaluinya kita boleh mengkaji salasilah dan perkaitan metafora dalam aktiviti kehidupan kita sehari-hari.
Merujuk kepada contoh metafora di atas, haiwan seperti burung dan telurnya telah dijadikan metafora iaitu burung adalah ekspresi dan maksudnya adalah berkaitan dengan manusia. Maksud metafora diatas adalah supaya kita hidup dalam berkumpulan hendaklah sentiasa bersatu padu dan bekerjasama. Jika tiada sikap perpaduan tersebut maka akan runtuhlah hidup kumpulan tersebut kerana jika salah seorang daripada komuniti tersebut melakukan kesilapan maka seluruh komuniti akan terpalit dengan kesalahan yang sama. Umpama nila setitik rosak susu sebelanga.

2.      Kesistematisan metafora dalam menonjolkan ataumenyembunyikan sesuatu aspek.
Contoh metafora
“melentur buluh biarlahketika rebungnya"
Maksud peribahasa
Mengajar atau menanam sesuatu tabiat yang perlu dilakukan semasa seseorang itu masih muda atau masih kecil.
Penjelasan
Kesistematisan merupakan pemahaman satu aspek dalam sesuatu konsep daripada sudut pemahaman yang berbeza.Keadaan ini secara tidak langsung akan menyembunyikan aspek-aspek lain yang terdapat dalam konsep metafora sekaligus menyebabkan seseorang tidak memfokuskan kepada aspek-aspek yang lebih konsisten dalam metafora.Misalnya, konsep peribahasa difahami secara berasingan dengan maksud yang diberikan kepadanya oleh masyarakat Melayu mahupun masyarakat bukan Melayu.Lakoff & Johnson menerangkan bagaimana metafora dapat menonjolkan atau menyembunyikan sesuatu pengalaman hidup kita dengan menggunakan metafora saluran ( conduit metaphor ) yang diperkenalkan oleh Michael Reddy.
Pemerhatian Reddy terhadap bahasa manusia memperlihatkan bahasa dapat distrukturkan kepada tiga aspek metafora yang kompleks iaitu:
- Idea atau makna adalah objek.
- Ekspresi linguistik adalah bekasnya ( container ).
- Komunikasi akan menghantarnya.
Merujuk kepada contoh metafora yang digunakan, melalui kajian Reddy,
·      Idea atau makna yang cuba diketengahkan adalah proses membentuk peribadi seseorang insan.
·      Eksperi linguistik adalah apabila penggunaan buluh sebagai simbolik. Buluh yang diketahui  akan kelunturannya apabila di tiup angin akan bertahan dan tidak mudah patah.
·      Komunikasi pula adalah cara penyampaian metafora yang menyatakan untuk melentur buluh hendaklah dilakukan ketika ia masih muda. Ini menyenangkan kerana ia masih mudah dilentur. Begitu juga dengan kata maksud dimana seorang kanak-kanak akan lebih mudah diasuh dan mendengar kata jika dibandingkan dengan manusia yang telah dewasa.
3.      Metafora dan koherensi kebudayaan.
Contoh metafora
“Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi. Yang indah itu bahasa yang elok itu budi”
Maksud 
Ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli.
Penjelasan
Nilai yang paling penting dalam budaya akan menjadi koheren dengan struktur metafora yang paling utama dalam kebudayaan.
Sebagai contoh, kita dapat mempertimbangkan beberapa nilai budaya dalam masyarakat.
(biasanya ditandakan sebagai BAIK dan TIDAK BAIK) yang koheren dengan ruang orientasi metafora ATAS–BAWAH dengan bahagian berlawanan mana yang tidak sesuai mengikut sesuatu kebudayaan,
Merujuk kepada contoh metafora yang dinyatakan, melalui metafora tersebut kita dapat memgambarkan nilai budaya masyarakat berkaitan dengan budi bahasa sesuatu masyarakat. Jika baik budi bahasanya maka baiklah masyarakat tersebut. Budi bahasa akan sentiasa menjadi kayu pengukur sesuatu bangsa kerana budi bahasa tidak boleh dijual beli. Ia adalah identity sesuatu bangsa.
4.      Metafora ontologikal.
Contoh metafora
“Seronok sekali rasanya mendengar muzik alam yang begitu asli,”
Maksud 
Ungkapan yang menggambarkan ketenangan yang di rasai apabila kita kembali mendengar alunan irama yang telah diciptakan oleh yang Maha Esa. Ia menyentuh jiwa secara semulajadi.
Penjelasan
Pengalaman kita dengan objek-objek fizikal telah memberikan suatu input bagi metafora ontologikal.Ia meliputi cara untuk memerhatikan sesuatu aspek atau perkara, aktiviti, emosi dan idea yangberkaitan dengan entiti dan bahan-bahan.
Metafora ontologikal terdiri daripada pelbagai tujuan dan pelbagai jenis metafora yang menggambarkan tujuan-tujuan tersebut.
Merujuk kepada metafora yang diberikan, pengalaman yang dialami adalah keseronokan dan ketenangan apabila mendengar irama alam. Objek fizikal yang diketengahkan adalah alam semulajadi. Mentafora ontologikalnya adalah emosi yang tenang dan seronok melalui pengalaman mendengar alunan semulajadi alam.

5.      Metonomi dan Personifikasi
a.       Metonomi
Contoh metafora
Abu Jahal
Maksud 
Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Penjelasan
Metonimi adalah suatu aspek yang menggunakan satu entiti untuk merujuk kepada entiti lain yang berkaitan dengannya.Metafora dan metonimi mengalami dua proses yang berbeza di mana metafora adalah suatu cara untuk memikirkan sesuatu perkara dari sudut suatu perkara yang lain dan fungsi utamanya adalah untuk memahami.
Manakala, metonimi pula memegang fungsi rujukan di mana ia membolehkan kita menggunakan satu entiti untuk ‘berdiri di atas’ satu entiti yang lain.
Misalnya, agama Islam dilambangkan dengan bulan sabit. Oleh itu, bila mana kita melihat bulan sabit maka kita akan merujuknya sebagai simbol Islamik.
Walau bagaimanapun, metafora dan metonimi merupakan dua aspek yang sistematik dan mempunyai tujuan yang sama tetapi metonimi memerlukan pemfokusan yang lebih spesifik kepada aspek yang dirujuk.
Merujuk kepada metafora yang diberi, entiti yang ditonjolkan adalah Abu Jahal. Di dalam sejarah Islam, Abu Jahal memang terkenal dengan kejahatan beliau yang memusuhi Rasulullah s.a.w yang merupakan anak saudara beliau. Maka umumnya masyarakat tahu jika disamakan seseorang dengan Abu Jahal maka ia merupakan seorang manusia yang jahat dan tidak akan didekati.
b.      Personifikasi
Contoh metafora 1
Harapkan pegar, pegar makan padi.
Maksud 
Kita mengamanahkan atau memberi kepercayaan kepada seseorang,sebaliknya orang itu mengkhianati kepercayaan atau amanah yang kita berikan.
Contoh metafora 1
Biar mati anak, jangan mati adat.
Maksud
Orang yang kuat perpegang pada adat.

Metafora ontologikal yang paling ketara dapat dilihat pada objek fizikal yang diberikan sifat perorangan.Keadaan ini menyebabkan kita memahami sesuatu pengalaman dengan entiti bukan manusia dari sudut motivasi, tingkahlaku dan aktiviti-aktiviti manusia.
Contoh ini dapat kita lihat melalui beberapa data peribahasa yang telah dipilih:
‘Pagar’ merupakan suatu objek tidak bernyawa yang diberikan sifat perorangan di mana pagar di sini dikatakan berupaya untuk melakukan aktiviti yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan hidup seperti ‘makan’ sewaktu perut berasa lapar.
‘Adat’ merupakan suatu amalan yang dilakukan oleh manusia dalam sesuatu komuniti. Adat bukanlah merupakan suatu objek namun ia merupakan suatu kegiatan manusia yang bersifat subjektif. Oleh itu, ‘adat’ di sini diberikan sifat perorangan di mana adat dikatakan boleh mengalami proses ‘mati’ sepertimana objek bernyawa yang lain.
Kesimpulan.
Metafora adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu.Penggunaanya berkait rapat dengan kepercayaan , sikap dan nilai masyarakat.Penerimaan berkait dengan pengalaman bahasa dan ia bersifat realtif. Dengan menggunakan metafora massyarakat cuba menyampaikan mesej dengan cara yang sopan dan tidak menguris hati orang lain. Selain peribahasa, simpulan bahasa dan pantun-pantun lama kita juga disogokkan dengan mutiara kata yang indah sebagai pedoman. Masayarakat Melayu terdahulu sungguh sopan didalam memberi tunjuk ajar dan teguran. Seperti yang telah dinyatakan “Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”. Bahasa jiwa bangsa.